SAH KE JAKARTA? SPEKULASI YE3 KE MPL INDONESIA MAKIN PANAS!

 

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai masa depan pemain bintang Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) tanah air, YE3, kini seakan-akan terjawab selepas satu hantaran terbaru di media sosial beliau tular dan menguatkan spekulasi perpindahannya ke liga paling kompetitif di dunia, MPL Indonesia.


Bukti 'Solid' Di Lapangan Terbang

Melalui satu perkongsian di platform media sosial, YE3 dilihat memuat naik sekeping gambar yang memaparkan pasport Malaysia beserta tiket penerbangan. Apa yang menarik perhatian peminat adalah destinasi yang tertera pada tiket tersebut iaitu dari KLIA 1 (Kuala Lumpur) menuju ke Jakarta (CGK).

Bukan itu sahaja, kapsyen hantaran tersebut yang berbunyi, "Thankyouu CG 🫶 gonna miss you guys," disertakan dengan emoji bendera Indonesia, seolah-olah memberi isyarat jelas bahawa beliau sedang mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan lamanya (dipercayai CG Esport) untuk memulakan perjalanan baru di negara jiran.

Spekulasi Pasukan Baru

Sejak beberapa minggu lalu, khabar angin mengenai pemain Malaysia berhijrah ke MPL Indonesia memang kencang diperkatakan. Dengan prestasi YE3 yang semakin meningkat naik, kehadiran beliau ke Indonesia pastinya akan memberikan impak besar kepada lanskap e-sukan serantau.

Walaupun begitu, setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi daripada mana-mana organisasi e-sukan di Indonesia mengenai kemasukan YE3. Namun, melihat kepada "bukti" tiket penerbangan tersebut, pengumuman rasmi dijangka akan menyusul dalam masa terdekat

Langkah Berani Pemain Malaysia

Jika perpindahan ini menjadi kenyataan, YE3 akan menyertai barisan pemain elit Malaysia yang pernah berkelana ke Indonesia. Persaingan di MPL ID yang sangat mencabar bakal menjadi medan terbaik untuk YE3 mengasah bakatnya ke tahap yang lebih tinggi.

Peminat e-sukan Malaysia pastinya mendoakan kejayaan buat YE3 jika benar beliau bakal membawa cabaran Malaysia di bumi Indonesia. Adakah kita akan melihat beliau menyarung jersi pasukan gergasi seperti RRQ, ONIC, atau Alter Ego? Sama-sama kita nantikan.

Oleh: E-Media Sukan MY

Comments